Cabaran Aplikasi Media Sosial Dalam Pendidikan
Disediakan oleh Yong Hui Ying PQB180021
Peranan Pendidik
Peranan pendidik dalam menggunakan aplikasi media sosial sangat penting untuk memastikan keberkesanan penggunaan teknologi dalam proses pendidikan. Pendidik perlu sentiasa peka dengan arus teknologi dalam pendidikan abad ini kerana teknologi sentiasa berubah tanpa disedari. Sikap negatif segelintir pendidik yang telah biasa menggunakan kaedah lama untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran adalah cabaran bagi menggunakan aplikasi media sosial dalam pendidikan (Rabaya & Norazah, 2014). Hal ini adalah kerana, sikap pendidik itusendiri yang tidak mahu menyesuaikan diri dengan ledakan revolusi teknologi dalam pendidikan. Hanya segelintir pendidik sahaja yang memanfaatkan aplikasi sosial media dalam persekitaran pembelajaran dan pengajaran (Rabaya & Norazah, 2014). Justeru, sikap positif pendidik dalam menggunakan teknologi perlu diserap dalam diri pendidik. Hasil kajian Abdul Wahab et al. (2006) menyatakan bahawa terdapat hubungkait antara sikap dengan penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran di mana sikap yang positif dalam diri guru dapat meningkatkan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran.
Akses / Kos Pengendalian
Akses kepada ICT merupakan masalah utama di Malaysia. 83% masyarakat di kawasan luar bandar dan 60% di kawasan bandar mendapati akses kepada ICT adalah terlalu mahal. Dari 1.5 juta rakyat Malaysia yang menggunakan internet, 50% berada di kawasan Selangor dan Wilayah Persekutuan. Ini mewujudkan jurang digital yang ketara di dalam masyarakat Malaysia. (Education Quarterly:35 : 2001). Tiada akses kepada internet serta talian akses yang perlahan merupakan cabaran yang dirasai di sekolah-sekolah tertentu. Begitu juga sekolah yang tidak mempunyai komputer (kecuali untuk urusan pentadbiran) atau kuasa elektrik memberikan cabaran yang hebat dalam perlaksanaan penggunaan aplikasi media sosial dalam pendidkan.
Kos Bahan / Infrastruktur
Ia melibatkan kos yang tinggi sama ada untuk infrastruktur telekomunikasi, perkakasan dan perisian. Kos membaikpulih komputer yang rosak juga perlu dipertimbangkan. Perisian mestilah yang asli dan bukan yang dibeli di pasaran biasa atau pirate installler. Tentulah ia melibatkan kos yang tinggi kerana satu perisian adalah untuk satu komputer sahaja. Selain itu, negara kita dikejutkan tentang isu makmal-makmal komputer yang belum siap dibina atau yang siap dibina tetapi tidak selamat diduduki. Ini amat merugikan dan satu pembaziran kerana pembinaaan makmal komputer ini melibatkan tender-tender kerajaan. Selain itu, penggunaan smart phone dan ipad walaupun sangat biasa pada masa ini, tetapi bukan semua pelajar dapat akses terhadap alatan ini.
Kesediaan Guru
Sandra et.al, (2013) ; Yahya dan Roselan, (2007) menyatakan kesediaan guru prasekolah untuk mengintegasikan penggunaan ICT dalam pembelajaran dan pengajaran merupakan faktor yang menentukan kejayaan dan keberkesanan penggunaan aplikasi sosial media dalam pendidikan. Bagi mencapai tujuan tersebut, sikap guru dilihat sebagai satu isu yang perlu diperbaiki khususnya dalam penggunaan aplikasi sosial media ( Melvina & Jamaludin, 2010 ; Yahya dan Roselan, 2007 ; Sandra et.al, 2013). Ini dikukuhkan lagi dengan dapatan kajian yang dibuat oleh Chung , Hui Ching, Melvina and Jamaludin Badusah, (2010) bahawa guru-guru yang tidak pernah menghadiri kursus ICT mempunyai sikap negatif dan sederhana dalam usaha menggunakan aplikasi sosial media ketika menjalankan pembelajaran dan pengajaran dan sikap yang sedemikian agak membimbangkan. Kajian lain mendapati bahawa dapatan daripada Pelan Rancangan Pendidikan 2001-2010 mendapati antara tahun 1996-2000, daripada 30% guru yang menghadiri kursus ICT hanya segelintir yang menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pembelajaran dan pengajaran (Sandra et.al, 2013). Melalui sikap ini juga, kemahiran guru menjadi terbatas dan terhad sekaligus menjadi satu cabaran yang perlu dihadapi dalam meningkatkan perkembangan literasi awal kanak-kanak. Ini dibuktikan melalui kajian Chung et.al, (2010) bahawa guru-guru bahasa mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang sederhana terhadap penggunaan ICT. Penggunaan komputer yang rendah disebabkan kemahiran guru pada tahap yang paling asas dan ini menyokong dapatan Sandra et.al, (2013) menyatakan bahawa guru yang kurang dari aspek kemahiran akan menjadi kurang yakin apabila menggunakan ICT dalam proses pembelajaran dan pengajaran secara tidak langsung menjadi masalah utama dalam pengintegrasian penggunaan aplikasi sosial media dalam pembelajaran dan pengajaran. Ini mungkin disebabkan guru kurang menguasai teknik atau kaedah penggunaan ICT dalam kelas kerana mereka tidak didedahkan dengan cara atau kaedah penggunaan ICT di kelas semasa mengikuti kursus ikhtisas atau ijazah sarjana muda. Ini mengukuhkan lagi dapatan Ahmad et.al, (2007) bahawa terdapat guru yang tidak mahir dalam mengendalikan pembelajaran berbantukan komputer disebabkan kurang latihan.
Peranan Pelajar
Peranan pelajar turut memainkan peranan dalam menggunakan teknologi dalam proses pembelajaran mereka. Cabaran utama dalam memastikan pelajar menggunakan aplikasi sosial media secara berkesan dalam pembelajaran pelajar adalah sikap dan juga kemahiran pelajar (Sharifah & Kamarul Azman, 2011). Ini adalah kerana, kebanyakan pelajar hanya menggunakan aplikasi sosial media untuk tujuran hiburan dan bukan untuk pembelajaran mereka. Pelajar ini tidak mempunyai sikap motivasi yang tinggi untuk mempelajari sesuatu suasana pembelajaran yang baru yang berasaskan teknologi (Mingmei Yuet al., 2012). Malah terdapat juga segelintir pelajar hanya mengetahui aplikasi sosial media daripada pelajar lain apabila melihat pelajar tersebut menggunakannya. Selain itu, segelintir pelajar juga mempunyai kemahiran yang rendah dalam menggunakan aplikasi sosial media. Pelajar ini tidak dapa tmempelajarinya sendiri walaupun terdapat banyak video-video cara penggunaan sesuatu aplikasi dapat diperolehi di laman-laman web. Ini menunjukkan kurangnya tahap pembelajaran secara kendiri oleh pelajar terbabit. Justeru, pelajar haruslah bersikap positif dalam menerima perubahan pembelajaran mereka. Malah kajian Mohd Azli dan Abdul Latif (2013) menunjukkan bahawa penggunaan teknologi dalam pembelajaran oleh pelajar perlulah positif bagi meningkatkan pencapaian mereka melalui penggunaan teknologi untuk pembelajaran kendiri. Namun,pelajar haruslah bijak untuk menentukan fungsi dan tujuan sebenar pelajar menggunakan teknologi dalam pembelajaran supaya tidak terlibat dengan penyalah gunaan teknologi.
Peranan Ibu bapa
Ibu bapa juga memainkan peranan dalam penggunaan aplikasi sosial media dalam pendidikan (Mingmei Yu et al., 2012). Kegagalan ibu bapa dalam mengejar arus perkembangan teknologi di era globalisasi adalah cabaran dalam menggunakan aplikasi sosial media dalam pendidkan (Mingmei Yu et al., 2012). Hal ini menyebabkan hubungan sosial antara pelajar, ibu bapa dan juga pendidik dalam penggunaan aplikasi sosial media terjejas (Mingmei Yu et al., 2012). Selain itu juga, sosio-ekonomi ibu bapa juga antara cabaran dalam penggunaan aplikasi sosial media dalam pendidikan (Tien et al., 2008). Hal ini kerana, ibu bapa yang mempunyai pendapatan yang rendah kurang bernasib baik dalam kemahiran dan pengetahuan mengenai teknologi (Tien & Fu, 2008) dan kurang keyakinan untuk menggunakan teknologi (Vekiri, 2010). Ini menunjukkan bahawa ibu bapa yang mempunyai pendapatan yang rendah kurang berpeluang untuk menggunakan teknologi dan manfaatnya di rumah dan tidak dapat memantau penggunaan aplikasi sosial media anak-anak mereka dengan baik (Mingmei Yu et al., 2012).
_______________________________________________________________________________
Rujukan
Abdul Wahab Ismail Gani, Kamaliah Hj. Siara, & Hasrina Mustafa. (2006). Penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran dalamkalangan guru sekolah menengah: Satu kajian kes di Pulau Pinang. Di akses pada 4 Disember 2019 daripada http://web.usm.my/km/24-06/KM ART 11.pdf.
Ahmad Esa, Baharom. M, Mukhtar dan Siti Nasrah (2007) Peranan multimedia di dalam pembelajaran kanak-kanak. In: Seminar Kebangsaan Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Guru (JPPG 2007), 18-20 November 2007, Hotel Royal Adelphi, Seremban.
Chung , Hui Ching,Melvina dan Jamaludin Badusah, (2010) Sikap guru Bahasa Melayu terhadap penggunaan teknologi maklumat dan kKomunikasi (ICT) dalam pengajaran di Sekolah-sekolah Rendah di Bintulu, Sarawak. Jurnal Pendidikan Malaysia, 35 (1). pp. 59-65. ISSN 0126-6020 / 2180-0782.
Mingmei Yu, Allan H.K., Yuen & Jae Park. (2012). Using Web 2.0 Technologies - Exploring Perspectives of Students, Teachers and Parents. Interactive Technology and Smart Education Journal . 9(4):2014 – 216.
Mohd Azli Yeop & Abdul Latif Haji Gapor. (2013). Kesan Pembelajaran Berasaskan Projek Berteraskan Teknologi Terhadap Pencapaian danPenerimaan Pelajar. Jurnal Pendidikan Bitara UPSI, 5(1).
Rabaya Muhamad & Norazah Nordin. (2014). Penggunaan AplikasiSumber Pembelajarann Terbuka (OER) Sebagai Media Pengajaran di Kalangan Guru-Guru. Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat: Impaknya ke atas Penyelidikandalam Pendidikan, disunting oleh
Fariza Khalid, Md Yusoff Daud &Mohd Jasmy Abd Rahman. 39-44. Bangi: Penerbit Fakulti Pendidikan,UKM.
Sandra.R, Abu Bakar.N, & Norlidah.A, (2013). Penggunaan ict merentas kurikulum standard prasekolah kebangsaan (kspk): tinjauan di prasekolah kementerian pelajaran malaysia.
Sharifah Nor Puteh & Kamarul Azman Abd Salam. (2011). Tahap Kesediaan Penggunaan ICT dalam Pengajaran dan Kesannya Terhadap Hasil Kerja dan Tingkah Laku Murid Prasekolah. Jurnal Pendidikan Malaysia, 36(1): 25-34.
Tien, F.F. & Fu. (2008). The Correlates of The Digital Divide and Their)mpact on College Student Learning. Computers and Education Journal. 50(1): 421-36.
Yahya. O, Roselan. B, dan Kemanusiaan, J. P. B., & Pendidikan, F. P. (2007). Aplikasi komputer dalam pengajaran bahasa: Penguasaan guru dan kekangan dalam pelaksanaan. 1st International Malaysian Educational Technology Convention (47-54).