Media sosial merupakan antara elemen penting dalam pembelajaran abad ke-21 (PAK-21). Selari dengan perkembangan teknologi masa kini, medium media sosial telah menjadi salah satu landasan kepada bidang pendidikan bagi murid untuk menuntut ilmu. Menurut Kaplan & Haenlein (2010), media sosial dapat dikatakan sebagai sekumpulan aplikasi yang dibina berasaskan ideologi dan teknologi Web 2.0. Melalui media sosial, penyebaran maklumat mudah untuk disampaikan serta diperoleh pada bila-bila masa. Kini, kebanyakan masyarakat Malaysia mempunyai gaya hidup berdasarkan digital. Menurut Laporan Ekonomi 2013/2014, masyarakat Malaysia semakin banyak menghabiskan masa dengan purata 3.5 jam sehari untuk melayari internet berbanding media lain seperti radio, televisyen dan surat khabar dengan statistik yang meningkat kepada 25 juta orang (Kem Kewangan 2014). Menurut laporan Social Media Marketing Industry Report (2015), lima media sosial teratas dunia adalah Facebook, Twitter, Linkedln, Google+ dan Youtube.
Penggunaan media sosial di Malaysia :
Sumber : Hootsuite
- Memberi pendedahan kepada guru-guru mengenai pengetahuan terhadap pendidikan melalui media sosial. Usaha ini adalah seiring dengan usaha kerajaan melalui Plan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 anjakan ke-7 iaitu memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.
- Melalui blog pendidikan ini, guru-guru dapat mengenali beberapa aplikasi media sosial yang boleh digunakan untuk sesi pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah. Guru-guru dapat belajar mengenai kaedah untuk menggunakan aplikasi tersebut serta kepentingan menggunakannya di dalam bilik darjah.
- Guru dapat mengetahui mengenai cabaran dalam menggunakan aplikasi media sosial. Ini kerana, dalam menggunakan medium media sosial dalam bidang pendidikan, sudah tentu akan timbul beberapa masalah yang bakal menggangu sesi pembelajaran dan pengajaran guru dalam bilik darjah. Jadi, dengan mengetahui cabaran tersebut guru dapat memikirkan tindakan lanjut bagi mengatasi setiap masalah yang timbul.
Diharapkan melalui blog pendidikan ini dapat memberi informasi yang bermanfaat kepada guru-guru bagi menggunakan medium media sosial dalam bidang pendidikan.